"No disaster strikes upon the earth or among yourselves except that it is in a register before We bring it into being - indeed that, for Allah , is easy -. In order that you not despair over what has eluded you and not exult [in pride] over what He has given you. And Allah does not like everyone self-deluded and boastful -." 57:22-23

Sunday, 15 January 2012

ini cerita rindu dan doa :: _zulaikha_3

Zulaikha :: berubah menjadi cantik dan remaja
Baru saja Jibril menghilang tanpa bekas dan tatkala Yusuf a.s menoleh pada Zulaikha, maka dia amat takjubnya melihat wanita itu sudah berubah menjadi cantik dan remaja. Serentak dengan itu pula Allah menanamkan kemesraan di kalbu Yusuf sehingga berbaliklah dia dari yang ma’syuk (dicintai) menjadi asyik (pencinta).
Zulaikha sendiri hairan mendapati dirinya mengalami pembaharuan mendadak tanpa penggunaan sesuatu alat dan proses. Hampir tidak percaya dia pada dirinya seandainya tidak dilihatnya orang-orang di sekitarnya terbelalak matanya terkagum-kagum serta didengarnya dari mulut Yusuf a.s sendiri keluar ucapan, “Maha Suci Allah, sesungguhnya apa yang Dia kehendaki, pasti terjadi. Dia Maha Kuasa mencipta sesuatu atas hamba-Nya!”
Zulaikha yakin bahawa apa yang terjadi atas dirinya itu adalah bukti terkabul doanya,utamanya doa yang dipanjatkannya pada malam terakhir. Dia mengangkat tangannya ke langit, bersyukur memuji al-Khaliq.
Maka timbullah pertanyaan di hatinya, apakah Yusuf a.s sedia menikahinya kerana dia seorang janda? Kebimbangan itu segera dijawab oleh hatinya bahawa dia bukanlah janda, tetapi dia adalah peribadi baru, Zulaikha baru, lebih jelita dari yang dahulu.
Yusuf a.s dapat membaca sanubari Zulaikha. Dia menghibur.
“Janganlah risau hai yang paling berbahagia! Baru saja saya menerima wahyu Allah, memerintahkan agar ku laksanakan segala idamanmu.”
Zulaikha :: pernikahan dengan Nabi Yusuf a.s
Zulaikha bersyukur. Dia segera pulang ke rumahnya melakukan sujud syukur kepada Pemberi Rahmat. Air matanya jatuh berderai kerana terharu atas nikmat Ilahi.
Yusuf a.s mengirimkan bingkisan-bingkisan kepada Zulaikha serta menugaskan beberapa pelayan untuk mengurus segala perlengkapan menjelang hari perkahwinan.
Sementara itu Yusuf a.s sudah benar-benar rindu kepada Zulaikha. Di dalam kalbunya terhunjam kelazatan cinta, apa yang tidak dimilikinya selama ini. Memanglah dia tidak pernah mengenali cinta asmara sebelumnya kepada mana-mana wanita, apalagi di tengah-tengah kesibukannya mentadbir Negara.
Dengan mengalami keasyikan cinta yang mengalir deras dalam dirinya, sedarlah dia betapa pergolakan batin Zulaikha terhadapnya. Sebab itu Yusuf dapat memaafkan segala perbuatan Zulaikha di masa silam dan memaklumi bahawa Zulaikha melakukannya adalah semata-mata kerana mabuk cinta. Yusuf dapat menilai bahawa seandainya Zulaikha pada masa itu sudah beragama tauhid seperti sekarang, tentulah Zulaikha dapat mengendalikan nafsunya.
Yusuf memuji Zulaikha yang begitu setia, kerana kecintaannya tidak pernah terbahagi kepada orang lain. Kecintaan Zulaikha hanya ditujukan kepadanya, tiada duanya. Bukankah hakikat cinta itu hanyalah satu dan setiap orang mengambil sebahagiannya dari satu itu?
Zulaikha telah mengambil satu dari yang satu dan dia pun akan mengambil hanya satu dari yang satu itu juga.
Dengan modal yang satu itulah “cinta-mencintai”, keduanya akan bersatu padu dalam kehidupan bahagia suami isteri.
Yusuf redha menerima isteri pilihan Allah yakni Zulaikha, yang pernah hampir menyebabkannya tertawan oleh nafsu seandainya tidak dibentengi takwa.
Yusuf yakin Zulaikha diredhai Tuhan. Kalau tidak nescayalah keutuhannya tidak dikembalikan seperti sediakala di masa gadis remaja. Dan sebagai Nabi a.s tentulah Tuhan tidak memberinya isteri kalau bukan orang suci dan baik.
Maka sejak pertemuaannya kembali dengan Zulaikha, sungguh hatinya amat rindu akan kehadiran kekasihnya di sampingnya. Padahal kerinduannya barulah sehari dua, tetapi sudah seimbang dengan kerinduan kekasihnya bertahun-tahun. Yusuf seolah-olah hilang kesabarannya! Sebab betapapun juga dia adalah manusia yang memerlukan keperluan-keperluan biologis walaupun bergelar Nabi yang tidak terkecuali di hiasi dengan hubbus syahwaati minan nisaai (syahwat cinta kepada perempuan). Hanyalah bezanya Nabi-Nabi dengan manusia biasa ialah bahawa syahwat mereka terkendali oleh wahyu Ilahi sehingga mereka terhindar dari seberang kemaksiatan.
Yusuf a.s akan mendapati Zulaikha bukan sebagai janda, bukan sebagai bekas isteri Menteri Qithfir tetapi adalah sebagai wanita baru, gadis perawan murni yang sengaja dicipta Tuhan baginya.  Ya, Zulaikha bukanlah bekas isteri orang. Zulaikha adalah kelahiran baru yang langsung tumbuh menjadi dewasa yang dikurniakan Tuhan khusus untuknya. Dia lelaki cantik, maka diberi-Nya pula pasangan yang sekufu dengannya.
Zulaikha :: dijemput ke istana Yusuf a.s
Penyambutan berlaku sewajarnya.
Peristiwa akad pernikahan Yusuf-Zulaikha terjadi pada hari Jumaat. Betapapun kegirangan bersemayam di kalbu Zulaikha ketika rasmi dipergaulkan dengan Yusuf a.s namun dia kelihatan biasa saja.
Yusuf a.s membuka isi hati isterinya dengan pertanyaan, “bukankah ini lebih baik dari yang kau inginkan dahulu?”
“Jangan menyindir!” kata Zulaikha. “Aku perempuan yang ikhlas kepadamu sebagaimana engkau saksikan.” Suaranya memohon pengertian, lalu menegaskan, “Suamiku dahulu tidak pandai mencampuri perempuan. Dan aku…keindahanmulah yang dijadikan Allah membuatku teransang, namun engkau dilindungi-Nya!”
Dengan itu terbukalah rahsia bahawa sebenarnya Zulaikha adalah tetap perawan di tangan Qithfir.  Ketika Yusuf ingin bermalam nikmat dengan isterinya, dia masuk ke dalam bilik tetapi didapati Zulaikha baru mengangkat takbiratul ihram untuk bersolat.
Yusuf a.s menantinya hingga selesai, tetapi agak lama sedikit kerana Zulaikha memantapkan khusyuknya. Tidak segera mengakhiri dengan salam penutup.
Yusuf a.s tidak sabar, lalu menegur, “Bukankah engkau yang tak kuasa menahan sabar hingga mengoyak baju gamisku ketika aku menghindarimu?”
Zulaikha menyahut, “Memang…tetapi tidaklah hatiku sekarang seperti dahulu!” Suaranya manja, membuat suami semakin rindu.
“Hatimu kini tidak seperti dahulu?” Tanya sang suami agak terkejut.
“Ya.” Zulaikha mengakui.
“Apa ertinya?” tanya Yusuf.
“Kini jiwaku tenteram”, balas Zulaikha merayu.
Kemudian tatkala Zulaikha bangkit pula hendak meneruskan solatnya, Yusuf segera memegang baju gamisnya dari belakang dan ditariknya hingga baju gamis isterinya koyak.
Maka mendadak turunlah malaikat Jibril menghantar wahyu Tuhan:
“Hai Yusuf, baju gamis denga baju gamis. Inilah al-Qishaash (pembalasan) antara engkau dengan Zulaikha.”
Dahulu Yusuf a.s yang tertarik, Zulaikha yang menarik. Sekarang Zulaikha yang ditarik, Yusuf yang menarik. Dahulu baju gamis Yusuf yang terkoyak dari belakang, sekarang baju gamis Zulaikha yang terkoyak dari belakang. Maka kedudukan menjadilah seimbang. Itulah al-Qishaash!
Tamat.
1001 impian – rangkaian kisah-kisah bidadari-
Terbitan darul nu’man, cetakan 1997.
*********
Yusuf berkata:
Dan aku tidak menyatakan diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang. 12:53

** Jika seorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal.
** Dedikasi khas untuk mereka yang sedang merindu.. ^^


~bersangka baik dengan Allah setiap masa~

No comments:

Post a Comment

Semua Allah punya
Terima kasih pembaca
^_^